futur yakni MALAS pt 2



assalamualaikum wbt

sudah habis berpuasa enamkah hamba Allah sekalian? kalau sudah alhamdulillah. kalau belum, dah bolehlah mula ya. selama menunggu detik2 untuk pulang kembali ke mesir, hamba Allah cuma duduk di rumah mengemas dan memasak untuk ummi dan sekelian isi rumah. buku belum lagi dijamah.  dan selama cuti ini jugalah belum berpeluang untuk menemui abah. maaf abah. tapi akan ditunaikan jua sebelum pulang ke sana. tidak sempurna rasanya  cuti tidak berjumpa abah.

disambung semula kisah futur sebelum ini..




Kenapa Boleh Futur?

Di sana, terdapat banyak pintu yang boleh membuka jalan kepada futur :

1 - Terlebih dalam pergaulan

Rasulullah S.A.W menasihatkan supaya kita memilih kawan sebagaimana sabdaannya yang bemaksud;

"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

2 - Berlebih-lebihan atau melampau di dalam beramal

Ramai aktivis muda begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga melupakan anjuran Islam dan kemampuan diri sendiri. Akhirnya apabila fenomena futur menjelma, maka dia menjadi lemah dan bosan.

Ada juga di kalangan manusia yang suka dan berlebihan menilai orang lain, namun kemudiannya dia sendiri futur dan menjadi lebih jelek dari orang yang dinilainya.

Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walau pun sedikit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3 - Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus

Satu contoh berlebihan di sini ialah di dalam melayari internet, chatting atau ber-FB. Apabila berlebihan dengannya, seseorang itu akan ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk 'terbang' di alam siber. Akibatnya masa untuk berbuat kebaikan menjadi kurang dan dia sering merasa konflik antara dua perkara ini.

4 - Suka bersendirian

Apabila seseorang suka bersendirian, maka dia telah hilang satu sistem pertahanannya daripada Syaitan. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya.

Pastinya Syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal kebaikan yang diperjuangkannya. Kita hanya akan mampu berkekalan di dalam kebaikan sekiranya terus bekerja dan hidup di dalam keadaan berjemaah dan bermasyarakat.

5 - Kurang mengingati mati

Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada perjuangan ke arah kebaikan ialah dorongan untuk mendapat pahala, rindu dengan Syurga, takutkan dosa dan siksa Neraka. Amat penting bagi kita untuk terus mendidik diri agar istiqamah di dalam ibadah seperti membaca al-Quran, solat Subuh berjamaah dan amalan-amalan lain yang akan mengingatkan kita kepada Akhirat dan bukan hanya bercakap mengenai hal ehwal semasa atau politik semata-mata.

6 - Enteng dengan perkara syubhat dan berbuat dosa

Ada orang yang suka mengambil mudah atau enteng memandang dosa-dosa kecil. Lama-kelamaan dia tercebur dan berterusan dengannya. Manusia pasti melakukan silap dan dosa tetapi apabila berterusan melakukannya maka ini akan menyebabkan hatinya gelap, dia menjadi futur dan kemudiannya berakhir dengan gugur.

7 - Hati yang berpenyakit

Ada di kalangan manusia berbuat kebaikan kerana inginkan nama dan populariti, ada yang berbuat demikian untuk mencuri hati gadis yang dicintainya dan pelbagai sebab yang lain. Kegagalan untuk memperbetulkan atau memperbarui niatnya akan menyebabkan dia sukar untuk bertahan lama daripada futur dan terus berundur.

8 - Permasalahan dalaman organisasi

Bermacam-macam faktor yang boleh menyebabkan konflik internal. Hanya mereka yang mampu berbesar hati dan berlapang dada serta dengan kebijaksanaan kepimpinan maka permasalahan-permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik.

9 - Terlalu asyik dengan kerjaya dan dunianya

Apabila seseorang telah menjadi terlalu asyik dengan kehidupannya, maka dia boleh tenggelam dengannya dan sukar untuk bangkit melainkan sekiranya dia ikhlas, intim hubungannya dengan Allah S.W.T dan bersegera bangkit setelah dilanda futur.

Mari kita renungi bersama maksud sabda Rasulullah S.A.W ini;

"Sesungguhnya ada seorang hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu bergantung daripada akhirnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

article source click here
glitter-graphics.com

Comments

Post a Comment